AS peroleh semula AS$100 juta yang dikaitkan dengan 1MDB


DOJ mencapai persetujuan dengan Jho Low untuk mendapatkan semula lebih AS$100 juta (RM472 juta) dana yang dikaitkan dengan skandal 1MDB berbilion dolar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2024.

JABATAN Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) mencapai persetujuan dengan Low Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low untuk mendapatkan semula lebih AS$100 juta (RM472 juta) dana yang dikaitkan dengan skandal 1MDB berbilion dolar.

Perjanjian itu menamatkan dua tindakan rampasan sivil yang turut termasuk ahli keluarga Jho Low dan entiti amanah yang ditubuhkannya, kata DOJ dalam satu kenyataan.

Perjanjian itu menyaksikan pemulangan sebuah apartmen mewah di Paris dan karya seni yang terletak di Switzerland oleh artis Andy Warhol dan Claude Monet yang dibeli Jho Low dengan jumlah keseluruhan kira-kira AS$35 juta.

Di samping itu pihak bersetuju untuk kembali ke Malaysia harta tanah dan wang tunai dalam akaun bank bernilai kira-kira AS$67 juta yang terletak di Hong Kong, Switzerland dan Singapura.

“Mereka juga bersetuju untuk bekerjasama dalam pemindahan  aset-aset lain ke Malaysia yang terletak di Hong Kong, Switzerland dan Singapura yang dikaitkan dengan dana 1MDB,” katanya.

Di bawah perjanjian ini, DOJ akan bekerjasama dengan rakan-rakan luar negara untuk memudahkan penjualan dan pemulangan aset-aset ini ke Malaysia.

DOJ berkata Amerika Syarikat akan melepaskan sejumlah AS$3.5 juta kepada entiti amanah untuk membayar yuran guaman dan kos yang berkaitan dengan hartanah tersebut.

Di bawah perjanjian ini tiada yuran ini boleh dikembalikan kepada Low atau ahli keluarganya.

Tindakan jabatan itu adalah terhadap aset yang diperoleh oleh Low dan keluarganya menggunakan dana yang diselewengkan dari 1MDB.

Menurut aduan pelucuthakan sivil dari tahun 2009 hingga 2015 lebih daripada $4.5 bilion dana milik 1MDB didakwa diseleweng oleh pegawai-pegawai tinggi 1MDB dan rakan-rakan mereka termasuk Low melalui konspirasi jenayah yang melibatkan pengubahan wang haram antarabangsa dan rasuah.”

“Sebelum penyelesaian ini secara keseluruhan, Amerika Syarikat mengembalikan atau membantu dalam pengembalian lebih daripada $1.4 bilion aset yang dikaitkan dengan pengubahan wang haram antarabangsa, penyelewengan, dan rasuah kepada Malaysia,” katanya.

Jho Low juga berdepan tuduhan berasingan di New York kerana didakwa berkonspirasi untuk mengubah wang haram berbilion dolar yang diselewengkan dari 1MDB dan kerana berkonspirasi untuk melanggar Akta Amalan Rasuah Asing dengan didakwa membayar rasuah kepada pelbagai pegawai Malaysia dan lain-lain.

Beliau juga berdepan tuduhan di District of Columbia kerana didakwa berkonspirasi untuk membuat dan menyembunyikan sumbangan kempen asing dan perantara semasa pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada 2012.

Perjanjian ini tidak membebaskan mana-mana entiti atau individu daripada tuduhan jenayah yang telah difailkan atau berpotensi. – 27 Jun, 2024



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen