Sultan Selangor murka tindakan MFL denda Selangor FC


Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kecewa dan amat dukacita terhadap denda yang dikenakan ke atas Selangor FC kerana tidak beraksi dalam perlawanan Charity Shield menentang JDT bulan lalu. – Gambar Selangor Royal Palace, 26 Jun, 2024.

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kecewa dan amat dukacita terhadap denda yang dikenakan ke atas Selangor FC kerana tidak beraksi dalam perlawanan Charity Shield menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) bulan lalu.

“Beta berasa amat kecewa dan sangat dukacita dengan keputusan ahli-ahli Malaysian Football League (MFL) serta ahli-ahli Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Beta terkejut dan kecewa kerana Dato’ Hamidin langsung tidak serius bersuara padahal beliau sebelum ini merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 dan berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor serta menerima darjah kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) daripada Beta,” titah baginda menerusi Facebook rasmi Royal Selangor Office hari ini.

Selain denda itu mata yang diperolehi pasukan itu dalam saingan Liga Super musim ini dipotong tiga mata.

Selangor FC juga dikehendaki membayar pampasan kepada JDT atas kekalahan yang dialami sebagai tuan rumah perlawanan pembukaan dan MFL bagi kekalahan akibat penarikan diri daripada perlawanan pada 10 Mei.

Sultan juga bertitah baginda murka dengan keputusan terbaru MFL yang disifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab, tanpa belas kasihan dan tidak berperikemanusiaan.

“Beta amat murka dengan keputusan terbaharu MFL ini yang Beta anggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan, dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku,” titahnya.

Selangor menarik diri daripada perlawanan Liga Super merangkap Piala Sumbangsih lima hari selepas pemain sayap mereka Faisal Halim diserang asid di Damansara Jaya.

Berikutan ketidakhadiran mereka, MFL memberikan JDT tiga mata dan pada Selasa MFL sebulat suara memutuskan denda RM100,000 yang akan didermakan kepada pertubuhan amal.

Di samping itu Selangor FC akan dikehendaki membayar pampasan kepada JDT dan MFL untuk kerugian kewangan akibat pengeluaran mereka.

Susulan insiden itu Sultan Sharafuddin bertitah Selangor FC menghantar notis kepada MFL untuk menangguhkan perlawanannya tetapi ditolak.

“Bagaimanapun MFL telah menolak permohonan penangguhan tersebut dan memberi kemenangan 3-0 serta kejuaraan Piala Sumbangsih kepada pihak lawan.

“Beta berpandangan bahawa hukuman yang dijatuhkan iaitu denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan tanpa penonton adalah tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan,” tidak baginda lagi.

“Lebih teruk lagi, MFL dan FAM langsung tidak serius bersuara dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang perlu mengenai aspek keganasan dan kezaliman yang berlaku terhadap pemain-pemain.

“Beta juga amat pelik kerana MFL dan FAM tidak menunjukkan rasa simpati dan belas kasihan terhadap pihak-pihak yang teraniaya dalam isu ini.

Sultan Sharafuddin juga bertitah tidak teragak-agak menarik pasukan Selangor FC keluar dari Liga Super sekiranya beliau menjadi sebahagian daripada FAS dan kepimpinan pasukan. – 26 Jun, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen