Gerakan koperasi boleh bantu atasi masalah kemiskinan, kata menteri


Kata Ewon, ahli juga boleh menikmati dividen daripada keuntungan yang dijana oleh syarikat koperasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 April, 2023.

GERAKAN koperasi diyakini berupaya memainkan peranan penting dalam usaha kerajaan membasmi kemiskinan di negara ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick berkata selain menawarkan harga barangan yang lebih rendah serta melatih ahlinya berkecimpung dalam bidang perniagaan gerakan koperasi juga memberi pulangan ekonomi dalam bentuk dividen.

 “Saya sangat yakin gerakan koperasi merupakan satu daripada banyak pendekatan yang boleh membantu menoktahkan kemiskinan kerana selain daripada ahlinya dapat menikmati harga barangan yang lebih rendah, pada masa sama mereka boleh belajar untuk berniaga.

“Seterusnya mereka boleh menikmati dividen misalnya daripada keuntungan yang dijana oleh syarikat koperasi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan COOPMart Koperasi Lembah Subang 2 (LS2) Selangor Berhad di Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya Ewon berkata COOPMart milik Koperasi LS2 Selangor Berhad yang ditubuhkan dengan sokongan kementeriannya melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) merupakan inisiatif kerajaan mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Katanya kementerian melalui SKM memperuntukkan RM360,000 kepada LS2 Selangor Berhad bagi membiayai sebahagian kos pembangunan COOPMart berkenaan.

Justeru Ewon meminta penghuni PPR LS2 agar beramai-ramai menyertai COOPMart seterusnya menjadikan koperasi itu sebagai sebahagian daripada federasi peruncitan dan pemborongan koperasi di negara ini.

Sempena pelancaran COOPMart itu, turut diadakan program Jualan Rahmah dan Madani yang menawarkan diskaun harga barangan hingga 30 peratus daripada harga asal untuk tempoh satu jam. – Bernama, 15 April, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen