Angkasa ingatkan masyarakat berhati-hati dengan pinjaman mudah


Abdul Fattah berharap orangramai tidak terpedaya dengan tipu helah tersebut – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 April, 2023.

SEMPENA perayaan Aidilfitri yang bakal disambut umat Islam tidak lama lagi, masyarakat di negara ini diingatkan supaya berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan sebarang tawaran pinjaman wang mudah.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Abdul Fattah Abdullah berkata terlalu banyak pinjaman ditawarkan oleh pelbagai pihak pada musim perayaan dengan syarat mudah termasuk kepada mereka yang disenarai hitam.

“Jadi saya harap mereka tidak terperangkap kalau ada tawaran yang sedemikian. Kadang-kadang scammer, ataupun (apabila) terima panggilan, kena periksa betul-betul supaya maklumatnya jelas.

“Kalau ada kemusykilan, bolehlah rujuk kepada Angkasa (untuk) mendapatkan penjelasan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis agihan pek juadah berbuka puasa di Wisma Bernama di Kuala Lumpur hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Koperasi Bernama Berhad Zakaria Abdul Wahab.

Terdahulu, sejumlah 300 pek makanan diagih kepada petugas agensi berita itu sebagai tanda penghargaan kepada media dalam mempromosi peranan dan aktiviti yang dilaksanakan Angkasa. – Bernama, 12 April, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen