Sri Lanka serah pelabuhan untuk bayar hutang China


Perjanjian bernilai AS$1.12 bilion itu pertama kali diumumkan pada Julai lalu, membolehkan syarikat China mengambil alih Pelabuhan Hambantota yang terletak di laluan perkapalan timur-barat tersibuk dunia dengan tempoh pajakan 99 tahun. – Gambar AFP, 9 Disember, 2017.

SRI Lanka pada Ahad menyerahkan kawalan sebuah pelabuhan laut dalam kepada sebuah syarikat China, menerusi perjanjian bagi mengukuhkan situasi kewangan negara yang sedang bergelut dengan masalah aliran tunai itu ketika kebimbangan semakin memuncak mengenai pengaruh Beijing yang semakin meluas.

Perjanjian bernilai AS$1.12 bilion itu pertama kali diumumkan pada Julai lalu, membolehkan syarikat China mengambil alih Pelabuhan Hambantota yang terletak di laluan perkapalan timur-barat tersibuk dunia dengan tempoh pajakan 99 tahun.

“Dengan menandatangani perjanjian hari ini, Perbendaharaan menerima AS$300 juta,” kata Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe pada majlis penyerahan kuasa pelabuhan itu.

“Ini adalah permulaan penyelesaian hutang kita,” kata Wickremesinghe.

Pelabuhan yang sedang mengalami kerugian itu akan diuruskan secara bersama oleh Pihak Berkuasa Pelabuhan Sri Lanka dan China Merchants Port Holdings.

Sri Lanka berhutang dengan China sebanyak AS$8 bilion, jumlah itu dipinjam bekas Presiden Mahinda Rajapaksa untuk projek pembinaan infrastruktur negara itu, termasuklah pelabuhan tersebut.

Perjanjian itu menimbulkan kebimbangan di Sri Lanka dan negara lain, termasuklah India dan Amerika Syarikat yang bimbang sekiranya China diberikan kawalan ke atas pelabuhan laut dalam itu ia boleh membuka peluang kepada China menempatkan tenteranya di Lautan Hindi.

Pada Jumaat, Parlimen Sri Lanka meluluskan konsensi cukai termasuklah untuk perjanjian pelabuhan itu, antara faedah konsensi itu adalah membenarkan pengecualian cukai selama 32 tahun untuk syarikat China, tindakan yang dibantah pembangkang negara itu.

Sri Lanka mengatakan ia mahu mengurangkan hutang luarnya menggunakan keuntungan perjanjian Pelabuhan Hambantota serta menjual beberapa lagi perusahaan untuk meningkatkan pendapatannya. – AFP, 9 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Bolehland pon x lama lg la tu

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan

  • Pemimpin bn boleh ambik iktibar..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan