Muhyiddin tak akan cabar jawatan pengerusi Bersatu


Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata beliau akan mempertahankan kedudukannya dan tidak akan mencabar jawatan pengerusi yang dijawat oleh Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Mac, 2020.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin akan mempertahankan kedudukan Presiden Bersatu dan tidak akan mencabar Dr Mahathir Mohamad untuk jawatan pengerusi pada pemilihan parti bulan depan.

Dilaporkan Bernama hari ini bahawa setiausaha politik Muhyiddin hari ini mengemukakan kertas pencalonannya untuk pemilihan parti yang akan berlangsung pada 11 April.

Pencalonan bagi jawatan tertinggi parti dan majlis tertinggi kini sedang berlangsung di ibu pejabatnya di Petaling Jaya. 

Ahli Parlimen Pagoh tidak mendapat sokongan Dr Mahathir selepas beliau membentuk kerajaan pintu belakang bersama Barisan Nasional dan PAS.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Perikatan Nasional pada 1 Mac lalu selepas berjaya meyakinkan Agong bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen.

Gabungan Perikatan Nasional mendapat label “kerajaan pintu belakang” kerana mendapat kuasa pemerintah tidak melalui pilihan raya umum.

Sebaliknya Muhyiddin dan kira-kira 30 ahli Parlimen keluar dari kerajaan Pakatan Harapan terus membentuk Perikatan Nasional bersama bekas parti pembangkang Umno, PAS dan GPS.

Dr Mahathir pada 24 Februari lalu meletak jawatan sebagai pengerusi Bersatu selepas Muhyiddin membawa keluar Bersatu dari Pakatan Harapan. Beliau sebelum ini juga meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Pada 27 Februari Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya berkata Mahathir akan kekal sebagai pengerusi Bersatu.

Muhyiddin mahu Dr Mahathir memimpin kerajaan baharu tetapi Dr Mahathir berkata beliau tidak akan bekerjasama dengan Umno sekali lagi.

Dengan penolakan Dr Mahathir untuk bekerjasama, Muhyiddin mengumumkan kekosongan kedudukannya.

Dilaporkan juga ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengemukakan kertas pencalonannya untuk mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Pemuda Bersatu.

Beliau dijangka berdepan pertandingan tiga penjuru melawan Exco Armada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan exco Mohd Muzammil Ismail.

Antara yang tidak bersama Muhyiddin ialah Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq dan setiausaha agung parti Marzuki Yahya. – 16 Mac, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen