Kedudukan istimewa Melayu dan Perkara 153


ISU dan kontroversi “kedudukan istimewa” orang Melayu di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan masih belum lagi ditamatkan dengan perbincangan ilmiah sejak dari dulu lagi.  

Sebagai pengajar subjek “Undang-Undang Perlembagaan”, kami terpaksa berulang kali menyatakan sama ada di bilik kuliah atau di forum akademik lain berhubung konsep dan ruang lingkup perkara ini di bawah undang-undang.  

Sehingga ke hari ini masih ada lagi pandangan-pandangan yang degil, yang tidak mahu berpaksikan kepada isi, semangat dan intipati Perlembagaan Persekutuan.

Hal ini amat memalukan kerana rata-rata mereka terdiri daripada graduan universiti tetapi ternyata tidak mampu atau sengaja tidak mahu menerima fakta, sebaliknya lebih ghairah bermain dengan sentimen semata-mata.

Mana-mana pelajar undang-undang atau bekas pelajar undang-undang sedia maklum bahawa “kedudukan istimewa” orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan adalah berdasarkan konsep “kuota” atau “perezaban”.  

Di bawah konsep “kuota”, hanya sebahagian sahaja boleh diperuntukkan untuk mana-mana kaum atau bangsa yang berkaitan. Secara umumnya  “kuota” ini adalah untuk kepentingan kaum atau bangsa atau “minoriti” yang sudah ketinggalan dengan kaum lain di negara tersebut. 

Lihat sahaja “kuota” yang diberikan untuk masyarakat kulit hitam di Afrika Selatan sejak ia merdeka daripada sistem Aparteid,  atau “kuota” yang diberikan kepada masyarakat Dalit di India dan juga “kuota” yang diberikan untuk pelajar-pelajar bangsa kulit hitam/Asia/Amerika Latin di universiti-universiti Ivy League yang terkemuka di Amerika Syarikat.  

Adakah kesemua orang Melayu layak untuk menerima keistimewaan sistem “kuota” ini? Jawapannnya adalah ‘tidak”.  

Ini adalah kerana Perkara 153 meletakkan syarat bahawa “kuota” yang diberikan kepada orang Melayu dan kaum pribumi Sabah dan Sarawak perlulah dibuat di dalam “perkadaran yang munasabah”.  

Dari segi ini, memang tiada maksud “perkadaran yang munasabah” dinyatakan di dalam Perlembagaan.  

Malah ada juga pendapat yang mengatakan bahawa tafsiran Perlembagaan tidak boleh dibuat secara literal atau harfiah dengan hanya melihat kepada makna perkataan yang berkenaan sahaja.  

Akan tetapi, intipati dalam sistem “kuota” adalah keistimewaan “kuota” tersebut bukanlah untuk dinikmati oleh golongan yang kaya. Ia hanyalah untuk dinikmati oleh golongan yang kurang berkemampuan sahaja.  

Hal ini telah dijelaskan sejak dari dulu di dalam Kertas Putih Kerajaan Malaysia yang bertajuk “Ka Arah Negara Harmoni” 1971 yang dikarang oleh kerajaan pimpinan allahyarham Abdul Razak berkenaan dengan biasiswa untuk pelajar Melayu di Universiti.  

Mengikut Kertas Putih tersebut, bukan semua pelajar Melayu layak untuk menerima bantuan kewangan dari kerajaan dan ia hanyalah berdasarkan kelayakan akademik dan ekonomi keluarga pelajar tersebut.  

Ini adalah ruang lingkup dan intipati “kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum Pribumi Sabah dan Sarawak” di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, dan Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di negara ini yang perlu diterima oleh semua rakyat di negara ini.

Sehingga ke hari ini, masih ada lagi sebilangan masyarakat yang tidak mahu menerima makna dan ruang lingkup “kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum Pribumi Sabah dan Sarawak” dengan berpaksikan kepada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.  

Inti pati hujah mereka yang lebih banyak bersandar kepada sentimen adalah berdasarkan “ketuanan Melayu” di mana orang Melayu merupakan bangsa yang istimewa di negara ini dan dengan itu berhak terhadap beberapa “keistimewaan”.  

Amat menghairankan kerana mereka hanya sekadar merujuk kepada nama Perkara 153 sahaja tetapi tidak mahu merujuk kepada isi kandungan Perkara 153 tersebut.  

Saya amat khuatir kerana saya tidak mahu melihat konsep “kedudukan istimewa” di bawah Perkara 153 ini dijadikan sama seperti konsep “hak istimewa” untuk kaum orang kulit Putih semasa zaman Aparteid Afrika Selatan sebelum tahun 1995. 

Saya juga tidak mahu melihat konsep “kedudukan istimewa” di bawah Perkara 153 ini menjadi seperti “hak istimewa bangsa Yahudi” di Israel.  

Berhubung dengan Perkara 153 ini ramai yang suka menggunakan penjelasan “kita bukan hendak mengambil hak orang lain, kita hanya mempertahankan hak kita seperti yang telah dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan, rasiskah kita?” .  

Inilah masalahnya apabila isi dan intipati Perlembagaan itu tidak diteliti dengan sebaik-baiknya.  

Saya amat tertarik dengan penjelasan yang diberikan oleh mufti Perlis yang mengatakan bahawa adalah tidak salah untuk menolong bangsa sendiri tetapi tidak boleh menzalimi bangsa lain.

Ini kerana Perkara 153 juga menyebut bahawa Yang Di-Pertuan Agong turut bertanggungjawab untuk melindungi kepentingan sah kaum-kaum yang lain dan bukan hanya untuk kepentingan kaum Melayu sahaja.

Ramai juga yang cuba mengupas konsep “tanah rizab” orang Melayu dengan mengaitkannya dengan “kedudukan istimewa Orang Melayu”.  

Tidak ramai pula yang memberikan penjelasan yang ilmiah mengenai tujuan dan keberkesanan polisi “tanah rizab Orang Melayu” ini.  
Ramai yang lebih suka menerima andaian bahawa ia adalah anugerah dari Penjajah British untuk melindungi orang Melayu. 

Saya mungkin tersilap di dalam hal ini, akan tetapi dalam konsep ‘penjajahan”, tidak wujud langsung “penjajah yang baik, suci hati yang terpanggil untuk melindungi kaum pribumi” kerana penjajah hanya mahu merompak hasil bumi negara orang lain untuk kepentingan mereka sahaja.  

Sekiranya “penjajah British” di negara kita ini dulu memang terpanggil untuk “melindungi orang Melayu”, maka keutamaan dalam pemberian tanah-tanah yang subur dan strategik mestilah diberikan untuk orang Melayu.  

Akan tetapi pada zaman penjajahan tersebut, keutamaan hanya diberikan kepada syarikat perniagaan mereka dan mana-mana pihak yang bersekongkol di bawah sistem ekonomi penjajahan.  

Malah lebih daripada itu, sistem pendidikan untuk orang Melayu adalah amat terpinggir, hanya setakat menjadikan petani yang lebih mahir daripada orang tua mereka sahaja berbanding dengan sistem persekolah di sekolah-sekolah Inggeris.  

Wacana dan perbincangan umum berkenaan dengan polisi “tanah rizab Melayu” ini perlu lebih diperhalusi lagi kerana sehingga hari ini adalah sekitar sentimen sahaja dan sentimen tidak boleh dijadikan kata putus di dalam hal pembangunan, jati diri dan hala tuju orang Melayu.

Kerisauan mengenai apa-apa hal yang berkenaan dengan orang Melayu itu bukanlah sesuatu yang hanya fantasi sahaja lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan undang-undang antarabangsa seperti ICERD.  

Dalam konteks negara pasca kolonialisme dan masyarakat yang berbilang kaum, kita tidak akan dapat lari dari kemelut ini. Akan tetapi ia perlulah dibuat dengan logik, fakta dan ilmu. 

Ini negara kita. Kita semua rakyat Malaysia. 

Ini sahaja harta dan identiti kenegaraan yang kita ada. – 14 November, 2018.

* Mohd Nazim Ganti Shaari adalah pembaca The Malaysian Insight. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen