Kadar pengangguran dijangka turun akhir tahun, kata pakar ekonomi


Ragananthini Vethasalam

Kadar pengangguran meningkat baru-baru ini susulan pelaksanaan PKP 2.0. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Februari, 2021.

KADAR pengangguran dijangka menurun pada separuh kedua tahun ini seiring dengan pemulihan ekonomi secara beransur-ansur, kata pakar ekonomi.

Ketika itu kadar pengangguran diramal turun sekitar 4%, berbanding 4.8% pada Disember tahun lalu, tambah mereka.

Profesor Fakulti Perniagaan Universiti Sunway Dr Yeah Kim Leng berkata kadar pengangguran melonjak kepada 5.3% pada Mei 2020 sebelum susut sedikit suku akhir tahun lalu.

“Mungkin akan turun sedikit dalam beberapa bulan akan datang sejajar dengan pemulihan ekonomi yang dijangka pada separuh kedua.

Kadar pengangguran dijangka turun kepada 4% menjelang akhir tahun,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut Yeah, kadar pengangguran meningkat baru-baru ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan sejak 13 Januari sehingga 18 Februari kecuali Sarawak.

“PKP 2.0 walaupun tidak seketat yang pertama, akan memberi impak negatif kepada industri peruncitan, hotel, restoran, pelancongan dan hiburan yang masih belum pulih akibat sekatan pergerakan.”

Felow penyelidik kanan di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Dr Shankaran Nambiar berkata kadar pengangguran tidak dijangka akan mencecah sehingga 5.1% dan 4.7% seperti yang direkodkan pada suku kedua dan ketiga 2020.

“Kadar pengangguran akan turun dalam suku kedua 2021 sekiranya PKP dilonggarkan akhir Februari nanti.

“Kegiatan ekonomi akan bertambah baik susulan program pemberian vaksin. Ini boleh dilihat melalui pemulihan pasaran tenaga kerja, dengan kadar pengangguran mungkin menyusut kepada 4.5% pada awal suku ketiga,” katanya. 

Shankaran berkata golongan B40 paling berisiko hilang pekerjaan dalam situasi sekarang.

“Selain langkah-langkah sekatan yang membataskan pergerakan orang ramai dan lebih ramai bekerja dari rumah, pekerja sektor tidak formal, bergaji harian dan pekerja perusahaan mikro berisiko tinggi hilang kerja.”

Yeah juga senada dengan Shankaran bahawa golongan B40 paling terkesan akibat pandemik Covid-19.

Pemberhentian kerja di semua peringkat tidak dapat dielakkan, termasuk penyeliaan dan pengurusan walaupun jumlahnya lebih kecil.

Ketua Perangkawan MalaysiaDr Mohd Uzir Mahidin baru-baru ini berkata pengangguran di Malaysia meningkat kepada 772,900 orang pada kadar 4.8% pada Disember 2020.

Manakala bilangan penduduk bekerja meningkat 0.1% atau 19,300 orang kepada 15.22 juta orang selepas mencatatkan penurunan kecil pada bulan sebelumnya. – 11 Februari, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen