Perintah berkurung buat perkahwinan jadi ‘panas’, kata peguam


Hailey Chung Wee Kye

Tidak adil salahkan Covid-19 semata-mata sebagal alasan perceraian, dan pandemik ini hanya pemangkin kepada perpecahan sedia ada, kata peguam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2021.

PERGESERAN antara pasangan suami isteri memang sedia ada, namun dengan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP), ia seperti menyimbah minyak pada api, mengakibatkan peningkatan masalah dalam perkahwinan, kata peguam dan organisasi perkhidmatan perkahwinan.

Mereka tidak memberikan angka, namun memberitahu The Malaysian Insight berlaku peningkatan permintaan untuk proses runding dan cerai sejak PKP pada Mac tahun lalu.

“Berdasarkan pemerhatian kami, ada peningkatan mendadak perceraian, kebanyakan membabitkanpasangan muda berusia antara 20 dan 40 tahun,” kata Wilson Tan Wei Sheng, peguam dari Tam Yuen Hung & Co.

“Masalah kewangan dan jarak antara pasangan semasa pandemik adalah dua sebab utama yang memisahkan pasangan.

“Pasangan berada jauh dan berpendapatan rendah hingga menengah lebih sering menyumbang kepada statistik penceraian masa kini,” katanya.

Amelia Tan Ru Wen, rakan sekerja kanan di firma sama berkata, tidak adil salahkan Covid-19 saja. Pandemik ini lebih merupakan pemangkin perpecahan yang sudah ada, katanya.

“Malah sebelum pandemik, kami dapati kes cerai naik selepas keluarga meluangkan masa bersama, contohnya seperti ketika atau selepas cuti sekolah.

“Kami jangka kadar perceraian mungkin belum meningkat jika pandemik berlanjutan,” katanya.

Dalam menguruskan kes perceraian dalam keadaan pandemik, firma itu berkata, kebanyakan pelanggan memilih perceraian bersama bagi melindungi kepentingan masing-masing kerana ketidakpastian dan ketidakstabilan ekonomi semasa.

“Perceraian dengan persetujuan bersama lebih murah dan cepat, dan menjimatkan masa dan kos, asalkan semua syarat perceraian dipersetujui kedua-dua pihak,” kata Max Tam Yuen Hung, yang menangani kes keluarga dan perceraian di firma itu.

Bagi pasangan yang mahu mendapatkan khidmat kaunseling, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Focus on The Family Malaysia (FOFM) berkata beberapa sesi yang dikendalikan ketika wabak mengambil masa lebih lama kerana ia kompleks.

Faktor tambahan kepada perkahwinan yang sedia bermasalah ialah kerja yang tidak pasti, masalah kewangan dan penjagaan anak dengan dengan sistem pembelajaran di rumah.

FOFM mempunyai perunding sukarela yang menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada keluarga secara percuma, tetapi perlu membuat bayaran sumbangan RM70.

Pengarah Eksekutif FOFM Benny Kong berkata kaunselor cuba sebaik mungkin untuk menyelamatkan perkahwinan dan menekankan kepada pasangan suami isteri bahawa perkahwinan yang baik sekalipun, turut berdepan masalah ketika dalam keadaan sukar.

“Memang benar orang Asia biasanya tidak akan berdepan menyelesaikan masalah itu dan hanya akan mendapatkan pertolongan bila masalah sudah sukar dikawal.

“Sekiranya anda ada masalah, pertimbangkanlah untuk mendapatkan pendapat pihak ketiga. Bercakap dengan seseorang, sama ada dalam komuniti atau seseorang yang profesional.

“Sekiranya anda tidak berbuat apa-apa, ia akan jadi lebih teruk. Tetapi campur tangan pihak lain yang membantu dapat memberikan harapan,” kata Kong.

Mungkin ada juga perkara positif berlaku daripada pandemik dan PKP, seperti peluang untuk bercakap antara satu sama lain dan mengeratkan lagi hubungan dengan anak.

“Saya dan isteri memasak lebih banyak ketika PKP. Semasa memasak, saya sedar isteri saya suka bercakap dan di situ kami jumpa titik temu kami. Kami juga berjalan bersama pada waktu malam dengan anak lelaki kami yang berusia tujuh tahun.

“Sebelum (PKP), kami tetapkan untuk (berusaha lebih) berjumpa dulu pada waktu pagi sebelum keluar rumah, tengah hari kami saling berbalas mesej, pulang dari tempat kerja dan sebelum tidur.

“Tapi sekarang, kami berdua di rumah dan makan tengah hari bersama.

“Jadi ada kebaikan waktu pandemik dan perkara baik ini perlu diteruskan,” kata Kong. – 1 Februari, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen