Calon bebas PD teruskan hasrat lawan Anwar Ibrahim


STEVIE Chan, yang menyatakan hasrat mahu jadi calon bebas di Port Dickson, tekad meneruskan racangan bertanding sebagai calon bebas selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil (PRK) itu.

Beliau, yang menyifatkan dirinya penyokong Pakatan Harapan (PH), mengalu-alukan tempoh kempen 14 hari yang ditetapkan SPR bagi pilihan raya kecil itu.

“Saya tegas dengan pendirian bahawa PRK yang disengajakan ini tidak patut terjadi dan tidak kena pada masanya.

“Ketika seluruh kepimpinan kerajaan harus berusaha merealisasikan impian pengundi Harapan, terutamanya dalam agenda reformasi dan pembuatan polisi, PRK ini hanya melarikan fokus dan masa kepimpinan,” katanya dalam satu kenyataan.

“Politik harus menjadi alat untuk berkhidmat kepada rakyat dan bukannya ahli politik.”

SPR hari ini menetapkan penamaan calon bagi PRK Port Dickson pada 29 September manakala pengundian pada 13 Oktober.

Minggu lalu, Chan mengumumkan di Twitter hasrat mahu bertanding sebagai calon bebas dalam PRK itu, yang bagi beliau diadakan secara paksa.

Katanya, sebagai calon bebas, beliau mengharapkan sokongan daripada mereka “yang berkongsi kerisauan” dengannya.

Beliau juga menyeru mereka yang sealiran pandangan dengannya untuk sama-sama menunjukkan kepada ahli politik, tanpa mengira kerajaan atau pembangkang, bahawa “suara rakyat tidak boleh dipermainkan lagi seperti dulu”.

Chan hari ini turut memuat naik di Twitter iklan mencari sukarelawan pasukan kempennya di Port Dickson nanti.

 

Minggu lalu, PKR mengumumkan Anwar akan bertanding kerusi parlimen Port Dickson selepas ahli parlimennya Danyal Balagopal Abdullah, yang juga bekas pegawai kanan tentera laut, mengosongkan kerusi itu minggu lalu.

Langkah Anwar bertanding di Port Dickson turut disambut berbelah bahagi dalam kalangan anggota tentera yang bertugas di bandar itu dan akan jadi pengundi awal nanti.

Danyal sebelum itu dikecam oleh Pertubuhan Patriot Kebangsaan kerana letak jawatan ahli parlimen untuk memberi jalan kepada Anwar bertanding PRK.

Badan bekas tentera itu juga menyelar PKR dan Anwar kerana memaksa pilihan raya kecil diadakan di Port Dickson dengan “menyingkirkan” satu-satu wakil rakyat bekas tentera.

Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji memberi amaran Anwar mungkin tidak akan dapat undi daripada tentera dan bekas tentera dalam pilihan raya kecil itu nanti.

Pimpinan PKR dan parti-parti lain dalam PH bagaimanapun mengalu-alukan PRK itu yang menyifatkan sudah sampai masa Anwar kembali ke Dewan Rakyat. – 20 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen