Ramai yang tersilap faham tentang UEC sebenarnya


ISU pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) telah menjadi hangat apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) meluahkan kesediaannya untuk menunaikan manifestonya dengan mengiktiraf UEC.

Rakyat Malaysia khususnya orang Melayu mempunyai pelbagai pandangan terhadap isu ini. Majoriti orang Melayu kelihatan bertentangan dengan cadangan kerajaan untuk mengiktiraf UEC, manakala kaum Tionghua adalah menyokong iltizam kerajaan tersebut.

Sebelum kita menghalusi sama ada UEC wajar diiktiraf, sejarah sistem pelajaran negara patut kita pelajari. Selepas kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, bagi tujuan penyatuan sistem pelajaran kita yang terdiri daripada pelbagai aliran, kerajaan Malaysia menyeru agar semua sekolah termasuk sekolah agama dan sekolah Cina menyerahkan tanah, aset dan kesemua hak terhadap harta sekolah kepada kerajaan Malaysia.

Sebagai balasan, kerajaan akan membiayai kos-kos sekolah-sekolah ini dan akan mengawal sukatan pelajaran.

Pada ketika itu, terdapat segelintir daripada masyarakat Cina berasa bahawa bahasa ibunda mereka, Bahasa Cina akan terancam akibat menyerahkan hak mereka kepada kerajaan Malaysia. Golongan ini memilih untuk meneruskan sistem pendidikan mereka secara persendirian dan tidak mengambil bahagian dalam usaha penyatuan sistem pendidikan kerajaan. Jumlahnya adalah sebanyak 60 buah sekolah Cina yang sekarang dikawal oleh persatuan yang dikenali sebagai Dong Zong. Dong Zong-lah yang mengendalikan kesemua perkara termasuk sukatan dan peperiksaan sekolah-sekolah persendirian ini.

Sijil bagi lepasan sekolah ini adalah UEC. Bagi sekolah-sekolah Cina lain yang menerima cadangan kerajaan pada masa itu pula dikenali sebagai “Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK)” atau “Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK)”.

Selama lebih 60 tahun, UEC tidak diiktiraf oleh kerajaan Malaysia kerana sistem pendidikan mereka dianggap berbeza dengan Kementerian Pelajaran Malaysia. Maksudnya, pelajar-pelajar lepasan UEC tidak dapat masuk ke universiti tempatan dan juga tidak akan diterima masuk sebagai kakitangan awam.

Inilah sejarah pembentukan sekolah persendirian Cina yang mengeluarkan UEC. Sekarang, marilah kita lihat sebab-sebab utama menentang pengikirafan UEC oleh kerajaan.

Menurut Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Presidennya Zambri Mohd Isa menyatakan bahawa soalan-soalan peperiksaan UEC adalah dikeluarkan oleh warga asing (Taiwan). Gerakan Sistem Sekolah Satu Aliran Demi Perpaduan (Serap) pula menyatakan bahawa sukatan UEC adalah bertentangan dengan sistem pendidikan negara kita.

Ahli-ahli politik yang menentang, contohnya Pemuda Umno menegaskan bahawa UEC merupakan halangan terhadap perpaduan masyarakat Malaysia yang majmuk kerana majoriti pelajar-pelajarnya adalah dari kaum tertentu sahaja.

Timbalan Ketua Pemuda Shahril Hamdan berkata bahawa oleh sebab anak-anak kita tidak belajar di bawah bumbung yang sama, maka perpaduan antara kaum tidak dapat dipupuk sejak kecil-kecil lagi.

Ahli politik kesayangan saya Nasrudin Hasan dari PAS juga menentang pengiktirafan UEC. Dia berpendapat bahawa pengiktirafan UEC akan mensabotaj strategi pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1996.

Sebelum saya menjelaskan pendirian saya terhadap isu ini, saya ingin menegaskan bahawa isu ini patut dilihat secara terbuka dan bukannya secara terburu-buru dari sudut kaum mahupun bahasa.

Persoalan yang penting sekarang adalah: adakah segala alasan yang diberi oleh golongan yang bertentangan dengan pengiktirafan UEC ini betul-betul faham dan fasih sistem pendidikan UEC?

Bagi saya, mereka ini nampaknya hanya menentang kerana pelajar-pelajar UEC adalah kaum Tionghua dan agak jelasnya mereka tidak tahu langsung tentang UEC. Walaupun saya bukan pelajar lepasan UEC, akan tetapi sekurang-kurangnya saya telah mengambil masa untuk mengetahui UEC sebelum saya membuat sebarang komen.

GPMS menyatakan bahawa sukatan UEC adalah berasal dari Taiwan. Tuduhan ini adalah tidak betul kerana sukatan UEC adalah disediakan oleh ahli-ahli akademik Dong Zong yang merupakan anak jati Malaysia. Pihak-pihak ini berkata bahawa UEC bertentangan dengan sistem pendidikan negara kita. Malangnya, golongan ini tidak memperjelas sebab ini dengan lebih lanjut, akan tetapi saya rasa mereka adalah berpendapat bahawa oleh sebab sukatan UEC adalah dalam Bahasa Cina, maka ianya bertentangan dengan sistem negara kita yang mengutamakan Bahasa Melayu.

Untuk pengetahuan anda, saya berasal dari SMJK dan apabila saya belajar mata pelajaran seperti Matematik dan Sains, saya belajarnya dalam Bahasa Inggeris. Justeru, apa salahnya kalau seseorang belajar sesuatu mata pelajaran dalam bahasa ibundanya?

Adakah bahasa pengantaraan sesebuah mata pelajaran lebih penting ataupun fahaman terhadap mata pelajaran tersebut lebih mustahak? Bukankah apabila kita belajar, ilmulah yang paling penting dan bukannya bahasa untuk mempelajari ilmu? Seseorang patut diberi kebebasan untuk mempelajari ilmu dalam bahasa yang dianggap bersesuaian dengannya.

Ya, memang tidak boleh dinafikan, terdapat pelajar-pelajar UEC yang tidak berapa fasih dalam bahasa kebangsaan kita. Saya akui fakta ini. Akan tetapi untuk pengetahuan semua, kita rakyat Malaysia tidak pernah memperlekeh dan menganaktirikan Bahasa Melayu. Saya boleh jamin bahawa walaupun terdapat segelintir daripada pelajar sekolah Cina yang tidak begitu fasih dalam BM, tetapi kita semua sedang gigih mempelajari bahasa kebangsaan kita.

Ini adalah disebabkan kita tahu kepentingan bahasa kebangsaan dan adalah kewajipan setiap anak Malaysia untuk menguasai Bahasa Melayu. Begitu juga dengan saya, saya merupakan pelajar lepasan SMJK tetapi saya gigih belajar dan bangga dengan bahasa kebangsaan kita.

Sebenarnya terdapat banyak persepsi yang negatif dan prejudis yang tidak berasas berada dalam fikiran orang Malaysia mengenai isu UEC. Mereka berpandangan bahawa oleh sebab pelajar UEC tidak bergaul dengan kaum yang lain khususnya Melayu dan India, maka perpaduan tidak dapat dipupuk.

Soalan saya: adakah benar bahawa sekiranya anak-anak kecil kita bersama-sama belajar di kelas yang sama dan bumbung yang sama, maka perpaduan dapat dipupuk?

Dengan jujur, jawapannya adalah tidak. Selama ini saya telah menegaskan bahawa, halangan pertama rakyat Malaysia tidak bersatu padu bukannya sistem pendidikan negara kita yang majmuk dan vernakular. Sebab utama kita tidak bersatu adalah politik yang berasaskan perkauman!

Ahli-ahli politiklah yang sentiasa memainkan isu perkauman dan agama yang sebenarnya merupakan rintangan utama untuk perpaduan, bukannya sistem pendidikan kita. Walaupun kita boleh paksa anak-anak Melayu belajar bersama dengan anak-anak Cina, akan tetapi akhirnya apa yang akan berlaku adalah Melayu akan bergaul dengan Melayu, Cina akan bersama Cina dan India akan berkawan dengan India. Oleh itu, apa gunanya belajar di bawah bumbung yang sama?

Asas ketidakperpaduan kita adalah politik perkauman dan bukannya sebab lain.

Banyak pihak yang salah faham tentang UEC. Kedudukan BM tidak akan terancam kerana para pelajar masih wajib belajar BM dalam UEC. Lebih-lebih lagi antara syarat pengiktirafan UEC oleh kerajaan adalah pelajar UEC perlu mendapat sekurang-kurangnya kredit dalam SPM. Syarat ini adalah sama seperti pelajar SPM. Oleh itu, mana logik bahawa pengiktirafan UEC akan mengancam kedudukan bahasa kebangsaan kita?

Bagi mata pelajaran sejarah, pelajar-pelajar UEC juga belajar sejarah Malaysia. Justeru, saya hairan kenapa terdapat tuduhan dibuat bahawa pelajar UEC tidak belajar sejarah Malaysia?

Seperti yang saya katakan, isu UEC ini tidak patut dilihat dari sudut perkauman. Saya tidak menyalahkan golongan yang bertentangan dengan UEC kerana inilah hasil politik perkauman yang telah lama dilekatkan dalam minda kita berdekad-dekad. Isu UEC patut dilihat dari segi akademik dan kemajuan negara kita.

Harus diingatkan bahawa, pendrive yang kita semua sedang guna ini adalah ciptaan pelajar lepasan UEC. Sudah lebih 1,000 buah universiti termasuk universiti-universti agung telah mengiktiraf dan menerima masuk pelajar UEC, tetapi kenapakah negara kita sendiri enggan mengiktiraf UEC?

Janganlah kita sentiasa mengehadkan fikiran kita, bersikaplah terbuka sikit, barulah otak kita yang diberi Tuhan bermakna. – 19 Julai, 2018.

*Willie Ong adalah pembaca The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen