PKP penuh jika kes Covid-19 tidak dapat dikekang, kata menteri


Ravin Palanisamy

Orang ramai masih dibenarkan keluar rumah sepanjang PKP 3.0 walaupun berulang kali kerajaan menasihati untuk kekal di rumah jika tiada keperluan untuk keluar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Mei, 2021.

MENTERI Kesihatan Dr Adham Baba hari ini berkata perintah kawalan pergerakan (PKP) sepenuhnya akan dilaksanakan di Selangor jika kenaikan kes Covid-19 tidak dapat dikekang lagi.

“Saya bersetuju kita perlu mencadangkan kepada kerajaan untuk mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) dan juga PKP.

“Jika kita tidak dapat mengekang keadaan ini, maka cadangan pelaksanaan PKP sepenuhnya akan dipertimbangkan,” katanya pada sidang akhbar bersama Khairy Jamaludidin berhubung usaha imunisasi.

Adham berkata demikian ketika menjawab soalan berkenaan peningkatan jumlah kes Covid-19 di Selangor, walaupun selepas PKP dikuatkuasakan.

Selama 25 hari berturut-turut, Selangor  mendaftarkan jumlah kes jangkitan harian tertinggi.

Pada awalnya, hanya enam daerah di negeri ini dikenakan PKP tetapi ia dikuatkuasakan ke seluruh negara bermula 12 Mei hingga 7 Jun.

Ini kali pertama kerajaan menguatkuasakuan PKP empat minggu sementara perintah terdahulu dikeluarkan untuk dua minggu.

DI bawah PKP kali ini, sekatan lebih ketat dikenakan terhadap perjalanan rentas daerah dan negeri, aktiviti sosial, sukan dan pendidikan. Namun sektor ekonomi kekal dibuka.

Dalam tempoh enam hari PKP 3.0, Malaysia melaporkan 22,099 kes.

Ia turut merekodkan 44 kematian pada 15 Mei.

Jumlah kes setakat ini 474,556 dengan kematian mencecah 2,000 kes. – 17 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen